Pengarah muda, Syafik Datuk Yusof Haslam, 19, pernah terfikir mahu menfilemkan kisah hidup jaguh badminton negara yang kita sayangi, Datuk Lee Chong Wei untuk tontonan ramai di layar perak.
Syafiq merupakan pemegang rekod Malaysia untuk pengarah filem termuda dengan lahirnya filem SAM (Saya Amat Mencintaimu). Impresif, hasil kerjanya yang menampilkan Shaheizy Sam dan Lisa Surihani sebagai bintang utama itu mendapat respon baik daripada penonton juga sebahagian pengriktik filem.
Menerusi perbualan adik kepada pengarah-pelakon, Syamsul Yusof ni berkata, memang pernah terlintas difikirannya untuk membuat sebuah filem biografi berkisarkan para atlet negara. Bahkan nama Datuk Lee Chong Wei antara figura yang dibayangkan dalam kepalanya.
Kongsi Syafiq, dia merancang mahu memberi sebuah garapan yang mana menekan tentang pengalaman hidup-cabaran, pahit-getir serta suka duka Chong Wei bermula dari kecil dia menceburi arena badminton hinggalah mengapai kejayaan sekaligus menjadi kebanggaan negara.
Namun, itu hanyalah sekadar idea dan masih banyak perkara yang perlu di teliti sebelum merelealisasikan projek yang dikira pastinya menarik dan mana tahu dapat mengubah landskap trend filem Malaysia sekarang dengan lambakkan filem seram dan komedi.
“Memang pernah terfikir nak buat tentang tokoh sukan. Idea nak buat fasal Datuk Lee Chong Wei pernah ada tapi saya belum berfikir secara serius lagi,” kata Shafiq yang juga merupakan anak bongsu Datuk Yusof Haslam ni.
Meskipun sebelum ni sudah ada filem biografi mengenai tokoh negarawan seperti Tunku Abdul Rahman. Malah kita pernah dihadapkan dengan dokumentari tokoh sukan seperti Datuk Mokhtar Dahari namun kurang mendapat sambutan. Namun Syafiq berpendapat dengan kejayaan yang dicipta pemain badminton nombor satu dunia itu hingga kini dia yakin ‘ceritera’ Chong Wei mempunyai tarikan tersendiri.
“Saya rasa kalau nak buat satu filem apatahlagi berkonsep biografi, tidak semestinya tokoh yang dipilih harus mempunyai profil kejayaan paling tinggi. Tapi saya rasa kalau figura itu berjaya menyentuh hati kita ianya pasti menarik, sepertimana Chong Wei yang telah berjaya menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia tidak kira tua atau yang muda,” ujarnya lagi.
Sementara itu, sempat menghubungi beberapa pengarah juga produser bagi mendapat komen juga sekadar bertanyakan apakah mereka pernah terfikir untuk menghasilkan filem tentang Lee Chong Wei.
Pengarah seperti Osman Ali dan Aidil Fitri misalnya berkata yang mereka belum pernah terfikir untuk menghasilkannya. Namun berpendapat ia merupakan satu idea yang menarik dan pasti mempunyai cabaran besar.
Manakala penerbit popular Raja Azmi dan David Teo mempunyai persepsi berbeza apabila masing-masing lebih menitikberatkan dari segi keuntungan dan nilai komersial seandainya projek tersebut mahu direalisasikan.
“Untuk menerbitkan filem sebegitu pasti menelan kos yang tinggi hasilnya sukar dijangka. Mungkin masa ini nama Chong Wei sedang hangat diperkatakan dan jutaan penonton menontonnya di rumah ketika beliau di gelanggang pertandingan berbanding mereka yang akan datang ke panggung membayar tiket RM10″, kata David Teo.
“Saya tak pernah terfikir mahu menghasilkan filem Lee Chong Wei. Lagipun sekarang saya sedang merancang mahu buat filem tentang anak-anak Sidek (Sidek brothers)”, ujar Raja Azmi secara ringkas.
0 Komen:
Catat Ulasan