CETUSAN idea pakar kardiologi antarabangsa, Prof. Michael C.L. Lim dalam menghasilkan alat pemantau Elektrokardiogram (ECG) yang diintegrasi ke dalam telefon bimbit secara tidak langsung membuka lembaran baharu dalam sejarah perubatan penyakit jantung.
Ini kerana gajet yang dikenali sebagai EPI Life itu membolehkan sesiapa sahaja memeriksa dan merekod tahap ECG masing-masing ketika merasai simptom berkaitan masalah kardiologi.
Telefon mudah alih pertama di dunia yang memiliki sistem tersebut telah diperkenalkan oleh Heartronics Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat teknologi e-kesihatan yang memberi tumpuan kepada mempromosi dan memperkenalkan ciptaan teknologi terkini dalam bidang kepakaran tele-perubatan, pemantauan kesihatan jarak jauh dan peralatan diagnostik mudah alih.
Kesan lebih awal
Ia direka dan dibangunkan oleh EPI Mobile Health Solutions (S) Pte Ltd (EPI) untuk memberi perhubungan antara pesakit dan pakar perubatan serta membolehkan pengesanan awal penyakit jantung.
Pengarah Urusan Heartronics Sdn. Bhd., Jean-Michel Mougin berkata, alat yang boleh dimuatkan ke dalam poket itu dapat membantu menyelamatkan nyawa mereka yag mempunyai sejarah penyakit jantung atau berisiko mengalaminya.
"Melalui pengesanan awal, rakyat Malaysia boleh mendapatkan nasihat perubatan serta-merta sebelum keadaan menjadi bertambah serius atau berlaku kes kematian mengejut akibat serangan jantung.
"Orang ramai perlu berwaspada kerana penyebab utama kematian jantung secara mengejut adalah disebabkan ia tidak dikesan. Akibatnya pesakit tidak berusaha mendapatkan rawatan. Justeru, pengambilan ECG merupakan cara terbaik untuk mengesan arrhythmia (denyutan jantung abnormal) kerana ia mengukur aktiviti elektrikal jantung dengan tepat," jelas beliau sewaktu pelancaran EPI Life di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Setelah mendaftar untuk perkhidmatan ECG EPI Life, pengguna akan dihubungkan secara automatik ke Pusat Concierge Kesihatan yang beroperasi 24 jam sehari. Apabila mengalami simptom seperti loya, sesak nafas, rasa pening, mengalami debaran jantung atau sakit dada, pengguna boleh mengambil ECG melalui EPI Life.
Ia boleh dilakukan dengan cara memegang telefon tersebut menggunakan tiga jari yang disentuh pada bahagian sensor. Tahap ECG kemudian akan dihantar ke pusat melalui GPRS.
Pusat tersebut yang diselenggara oleh doktor pakar dan juruteknologi kardiologi akan menganalisis bacaan sebelum menghantar keputusan penilaian dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam tempoh beberapa minit.
Sementara itu, Michael menyatakan, EPI Life direka dan dibangunkan bukan sahaja untuk kemudahan dan keselamatan pesakit jantung, tetapi juga bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi serta mereka yang ingin mengurus kesihatan dengan lebih baik.
"Alat ini amat praktikal untuk merekod denyutan jantung pada bila-bila masa dan di mana jua. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka berasa tidak selesa atau mengalami simptom yang mungkin menandakan masalah jantung," kata beliau sambil memberitahu konsep produk itu sudah dibangunkan sejak tahun 1990.
Tambahnya, data ECG yang dirakam dengan EPI Life menunjukkan 98 peratus hubung kait dengan 12 Lead-ECG standard. Ia berdasarkan kajian klinikal yang dijalan dan disiarkan dalam jurnal Jantung Eropah.
Untuk setiap bacaan ECG, ia akan direkodkan secara dalam talian menerusi Fail Kesihatan Peribadi Maya khusus untuk setiap pengguna sebagai rujukan perubatan pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Pakar Kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr. David Quek melahirkan rasa gembira apabila HPKL dipilih EPI Life untuk hospital rujukan.
"Dengan adanya Pusat Jantung Pantai sebagai salah sebuah daripada Pusat Kecemerlangan Bersepadu yang menawarkan perkhidmatan rawatan jantung komprehensif, saya percaya hospital ini mampu membekalkan perkhidmatan yang diperlukan oleh pesakit yang dirujuk," tuturnya.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata simptom tidak selesa kadangkala berlaku sekejap sahaja dan tidak tetap. Justeru, kebanyakan orang tidak perasan pun apa yang dialami mungkin masalah jantung.
"Dalam kebanyakan kes, pesakit biasanya hanya merujuk kepada doktor atau pergi ke hospital setelah simptom reda.
"Pada ketika itu, doktor akan menghadapi masalah mengenal pasti keadaan yang tidak teratur ini atau memberikan diagnosis tepat kerana bacaan denyutan pesakit mungkin sudah kembali normal. Maka, di sinilah fungsi EPI Life boleh digunakan untuk merekod tahap kesihatan jantung anda," ungkapnya.
Pelancaran EPI Life telah dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dr. Balachandran Setiamurthi yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.
Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa penyakit jantung masih menjadi penyebab utama kematian di Malaysia.
"Faktor lain seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti yang dikaitkan dengan penyakit jantung juga sedang meningkat. Oleh itu masyarakat perlu lebih proaktif dalam menjaga kesihatan jantung walaupun merasakan diri sudah sihat dan cergas.
"Dengan cara itu, rakyat dan kerajaan akan dapat mengurus kos rawatan kesihatan yang semakin meningkat dengan lebih baik terutamanya apabila keadaan tidak teratur itu dapat dikesan serta dirawat dari peringkat awal," kata Balachandran.
0 Komen:
Catat Ulasan