Home » » Kes khalwat: Penjaga gol kebangsaan didenda RM2,500

Kes khalwat: Penjaga gol kebangsaan didenda RM2,500

PETALING JAYA - Penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias didenda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, hari ini selepas dia mengaku salah berkhalwat dengan seorang jurumekap, tahun lalu.

Zaiton Othman, 29, yang kini bergelar ibu tunggal dan mempunyai dua  anak juga didenda RM2,500.

Hakim Syarie Mohd Nurulazhar Mohd Tohar mengarahkan hukuman penjara selama sebulan sekiranya mereka gagal membayar denda.

Mereka didakwa berkhalwat di dalam sebuah bilik, di sebuah rumah milik rakan Zaiton di 3A-02, Blok A, Shang Villa Condo, Jalan SS7/15 Kelana Jaya di sini pada  jam 3.40 pagi, 12 Oktober lalu.

Pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor, Shafezan Rusli mengemukakan dakwaan mengikut Seksyen 29(1)(a) dan (b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut  fakta kes yang diakui mereka sewaktu pintu bilik dibuka, Zaiton berseluar panjang hitam dan baju-T ketat warna jambu dalam keadaan terbalik manakala Farizal juga memakai baju-T dan berseluar pendek sambil berselimut di atas katil.

Sebelum itu, Farizal mendakwa insaf dan kesal dengan kesilapan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.

"Sejak kes ini keluar suratkhabar, ia menjejaskan reputasi saya dan keluarga, orang ramai mula mencemuh, mungkin salah saya," katanya.

Farizal memohon hukuman denda yang ringan kerana perlu menanggung adik-beradik yang bersekolah serta ibu bapa pula sudah tidak bekerja.

"Saya hanya bekerja secara kontrak dan bukannya tetap, selepas apa yang terjadi, saya bimbang sekiranya kontrak tidak disambung pada musim depan," katanya dengan nada perlahan.

Sementara Zaiton yang kelihatan sebak turut insaf dan memohon hukuman ringan kerana sejak bergelar ibu tunggal, dia perlu menyara dua anak dengan pendapatan bulanan yang tidak tetap.

Katanya lagi, dia masih trauma selepas bercerai, yang berlaku hampir setahun lalu akibat kejadian tersebut.

Pasangan itu yang datang berasingan membayar denda di kaunter mahkamah sejurus prosiding berakhir.


Terima kasih kerana membaca Kes khalwat: Penjaga gol kebangsaan didenda RM2,500. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan