Mengikut sejarah awal Barat, perlakuan dan hubungan homoseksual adalah satu perbuatan keji dan dihukum dengan hukuman berat seperti hukuman mati atau dibakar hidup-hidup.
Ahli falsafah dan teologi Kristian, Thomas Aquinas, menjelaskan perlakuan sodomi dilakukan individu sama jantina adalah dosa kedua terbesar selepas membunuh.
Ahli falsafah dan teologi Kristian, Thomas Aquinas, menjelaskan perlakuan sodomi dilakukan individu sama jantina adalah dosa kedua terbesar selepas membunuh.
Perbuatan sodomi dan hubungan homoseksual mula mendapat perhatian serta simpati masyarakat Barat selepas berlaku Revolusi Perancis pada 1791 apabila sekularisme mula mendapat tempat sementara peranan agama terutama gereja tidak lagi relevan dalam sosial, politik dan ekonomi.
Lantang suara tuntutan
Kini, golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) semakin lantang menyuarakan tuntutan hak mereka bagi mengamalkan gaya hidup songsang supaya diperakui serta dihormati dengan alasan cara hidup diamalkan sebahagian daripada naluri manusia.
Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Enizahura Abdul Aziz, berkata kelompok LGBT mula mendapat tempat apabila berjaya meyakinkan masyarakat khususnya di Barat untuk menerima serta mengiktiraf mereka.
Katanya, kesediaan Barat itu dikaitkan dengan penindasan dan diskriminasi melampau Barat terhadap golongan itu, maka penerimaan dilihat sebagai proses menebus rasa bersalah mereka memerangi LGBT dulu.
"Perjuangan LGBT sudah mendapat tempat sehingga sebilangan besar negara Barat memperakui hak diperjuangkan golongan ini. Penerimaan itu berdasarkan pemahaman apa yang diperjuangkan sebahagian daripada hak asasi manusia yang perlu diterima serta dihormati.
"Di Malaysia, tuntutan kelompok LGBT adalah suara sumbang yang perlu dipinggirkan dan tidak perlu dilayan," katanya yang membentangkan analisis ringkas memahami kemunculan fahaman dan amalan LGBT pada Muzakarah Pakar LGBT: Cabaran dan Penyelesaiannya, anjuran IKIM.
Perlakuan tak lagi dipandang jijik
Beliau berkata, perlakuan homoseksual dan pemilihan cara hidup transgender semakin merisaukan kerana perlakuan songsang itu tidak lagi dipandang jijik sebaliknya sudah mula diterima segelintir golongan liberal.
Enizahura berkata, makin merunsingkan apabila agama dilabel sebagai tidak progresif serta kolot kerana tidak menerima atau memperakui cara hidup dipilih golongan LGBT dan bagi fahaman sekularisme, agama tidak harus mencampuri urusan duniawi manusia.
Malah, dasar perjuangan kelompok LGBT hari ini berpendapat undang-undang tidak boleh menghukum perhubungan yang dipersetujui sama ada zina atau hubungan sesama jenis. Justeru, mereka berusaha membentuk pemikiran masyarakat supaya menerima kelainan sebagai hak individu.
"Masalahnya, bentuk perlakuan yang dituntut untuk diiktiraf sedikitpun tidak mencerminkan sifat kemanusiaan atau ketinggian insan. Sebaliknya, cara hidup mereka jelas mempamerkan kehidupan bertuhankan hawa nafsu songsang manusia," katanya.
Pembentangan kertas kerja bertajuk 'Fenomena LGBT dari Aspek Kekeluargaan dan Kemasyarakatan' oleh penyelidik IKIM, Siti Shamsiah Md Supi dan Wan Roslili Abd Majid, menyatakan Malaysia tidak terlepas daripada promosi hebat mengiktiraf golongan LGBT.
Bencana, kemudaratan bakal berlaku
Promosi dan sokongan itu wajar diberi perhatian masyarakat dengan mengambil kira bencana serta kemudaratan besar bakal berlaku jika golongan berkenaan diiktiraf dan memperoleh hak mereka.
Antara kemudaratan itu, keruntuhan institusi akibat perkahwinan di luar norma, kedudukan anak jika dibenarkan dalam keluarga songsang itu dan penyebaran penyakit berjangkit seksual daripada hubungan sejenis.
0 Komen:
Catat Ulasan