Kami sudah mempunyai idea dan lokasi sesuai untuk pelaksanaan projek ini dan akan melantik pemaju hartanah bagi melaksanakannya” - Aminar Rashid Salleh, Pengarah Urusan PERODUASebagai permulaan, kediaman yang dibina dalam projek yang belum dimuktamadkan nilai pelaburannya itu dikhususkan untuk semua peringkat kakitangan yang berkhidmat di kilangnya, sebelum diperluaskan secara beransur kepada pembeli luar.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata matlamat utama pembangunan projek itu untuk mengurang dan menyelesaikan masalah kakitangan PERODUA yang tinggal dan menyewa jauh dari kilang dan ibu pejabatnya.
Tarik bakat muda
Beliau berkata, ia juga bertujuan menyediakan faktor tarikan baru untuk menarik bakat muda, khususnya dalam kalangan eksekutif untuk berkhidmat dengan penuh dedikasi bersama syarikat pengeluar kereta kedua nasional berkenaan.
“Matlamat utamanya untuk menyediakan kediaman sekurang-kurangnya kepada 50 peratus daripada 7,000 kakitangan kami yang tinggal jauh dan menyewa di luar selain menarik bakat baru berkhidmat dengan PERODUA.
“Namun, pada masa sama, kami harap projek ini mampu memberi nafas baru dan boleh mewujudkan kesan gandaan dari segi aktiviti ekonomi sama ada peluang perniagaan dan pekerjaan kepada penduduk Sungai Choh dan kawasan sekitar,” katanya pada taklimat media, di Kuala Lumpur, semalam.
Manfaatkan kawasan sekitar
Dijangka projek itu apabila dilaksanakan bakal memanfaatkan penduduk sekitar Bukit Sentosa, Bukit Beruntung, Sungai Buaya dan Sungai Choh yang menjangkau hampir 100,000 orang.
Bagi merealisasikan projek itu, Aminar Rashid berkata, PERODUA akan menjalinkan usaha sama dengan pemaju hartanah yang dilantik tidak lama lagi.
“Projek ini masih pada peringkat perbincangan dalaman, manakala konsep dan kaedah serta jumlah unit kediaman yang bakal dibangunkan masih belum dimuktamadkan.
“Kami sudah mempunyai idea dan lokasi sesuai untuk pelaksanaan projek ini dan akan melantik pemaju hartanah bagi melaksanakannya,” katanya.
Aminar berkata, meskipun PERODUA akan membangunkan projek bandar mini automotif itu, ia tidak bermakna syarikat berkenaan menyimpang daripada perniagaan terasnya, iaitu pembangunan dan pengeluaran kereta.
“PERODUA tidak akan sesekali terbabit atau mengembangkan perniagaan dalam pembangunan hartanah, sebab itu kami akan melantik pemaju untuk melaksanakannya,” katanya.
Keluarkan struktur bahagian
Sementara itu, Aminar Rashid berkata, PERODUA akan membangun dan mengeluarkan struktur bahagian atas badan kereta untuk modelnya dalam tempoh satu hingga dua tahun ini.
Struktur bahagian yang bakal dikeluarkan vendor tempatan yang bertauliah itu, katanya, akan menggantikan struktur sama yang dieksport kumpulan dari Jepun ketika ini.
Beliau berkata, langkah berkenaan akan mengurangkan kos perbelanjaan syarikat, khususnya tukaran mata wang asing.
Katanya, ia juga secara tidak langsung mampu meningkatkan peningkatan penggunaan struktur panel yang dihasilkan oleh vendor tempatan
0 Komen:
Catat Ulasan