TAIWAN yang mempunyai jumlah penduduk hampir 26 juta orang kini semakin mendapat tempat sebagai destinasi pelancongan menarik di kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia berikutan pelbagai kemudahan termasuk makanan halal yang mudah diperoleh.
Melihatkan kemudahan pelancongan Islam yang semakin baik di negara yang terkenal dengan sejarah pemerintah pertamanya, Chiang Khai Shek itu, sektor pelancongan Taiwan turut memberi sokongan terhadap usaha memantapkan lagi sektor pelancongan Islam di negara itu.
Dan tertarik dengan keindahan serta pembangunan sektor pelancongan di negara itu, Utusan Malaysia bekerjasama dengan Taiwan Visitors Association (TVA) Kuala Lumpur menganjurkan Peraduan Kumpul dan Menang Edisi Merah A dan B menawarkan pakej pelancongan muslim ke Taiwan.
Peraduan tersebut telah membawa enam pemenang bersama pasangan masing-masing ke negara itu dengan penerbangan China Airlines pada hujung Jun lalu.
Berada di Taiwan untuk pertama kali pastinya timbul kebimbangan apabila memikirkan soal makanan halal, namun, persepsi itu boleh dibuang jauh-jauh memandangkan negara tersebut semakin hebat dalam mempromosi makanan halal.
Makanan halal itu bukan sahaja tertumpu kepada makanan berkonsepkan masakan Cina tetapi ia merangkumi masakan ala Thai, Maghribi, Pakistan, India, makanan segera dan juga masakan Melayu.
Kesemua makanan tersebut pastinya membuka selera mereka yang berkunjung ke Taiwan kerana makanan halal di negara itu bukan sahaja menjadi pilihan utama masyarakat Islam, malah, turut digemari bukan Islam.
Terdapat pelbagai restoran yang menyediakan makanan halal antaranya di daerah Taipei, Restoran Thai Food House, Ali Baba Indian Kitchen, Restoran Halal Aaleja Pakistani & Indian, Ai-Jia Beef Noodle, Restoran Taj Indian, Restoran Tai Xiang Yun, Kunming Islamic Food, Restoran Tai Huang, Restoran Halal Sarena Indian & Pakistani, Restoran Meili Tai Thai Fine Cuisine, Restoran Li Rong-Yun Islamic Snack Food, Yuntai Muslim Food.
Di daerah Taoyuan, Ali Baba Indian Kitchen, Islamic Garden, Restoran Islamic Yunnan and Thai Cuisine, New Bangkok, Date Palm Xingjian Food House.
Di daerah Taichung, Restoran Islamic Yellow Beef Dumplings, Si Shih Lai Hand-Pulled Noodles, Turkish Islamic Fine Cuisine, Restoran Bollywood Indian. Manakala di daerah Kaohsiung pula, Warung Sate Muslim dan Ali Kitchen.
Berdasarkan pemerhatian ketika turut serta dalam lawatan itu, hampir kesemua penduduk Islam di Taiwan yang berjumlah 60,000 orang memilih Pertubuhan Cina Muslim (CMA) sebagai rujukan utama dalam mempelajari Islam.
Bekas Imam Masjid Besar Taipei, Ishag Ma ketika ditemui berkata, Islam di Taiwan semakin berkembang setiap tahun apabila sekurang-kurangnya 35 orang akan menjadi saudara baru.
Katanya, hubungan penduduk Islam di negara itu juga amat rapat berikutan jumlahnya yang kecil. Justeru secara tidak langsung ia membantu masyarakat Islam di Taiwan mengembangkan lagi Islam di kalangan bukan Islam.
''Di sini kita mempunyai sebuah masjid utama iaitu Masjid Besar Taipei yang terletak di tengah ibu kota. Komuniti Islam di Taiwan menggunakan masjid ini sebagai pusat untuk menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan Islam.
''Masjid yang mampu memuatkan kira-kira 1,000 jemaah dalam satu masa itu turut tidak terkecuali menjadi tumpuan para pelancong Islam dan bukan Islam kerana banyak maklumat tentang Islam terdapat di masjid berkenaan,'' katanya.
Selain masjid besar itu, masyarakat muslim turut beribadat di beberapa masjid lain seperti Masjid Taipei Cultural, Masjid Long Gang, Masjid Taichung, Masjid Tainan dan Masjid Kaohsiung.
Masjid-masjid tersebut didirikan bukan semata-mata sebagai tempat beribadat tetapi turut digunakan sebagai pusat sehenti untuk masyarakat Islam mendapatkan makanan mentah yang halal khususnya membeli haiwan yang disembelih.
Melihatkan perubahan yang begitu ketara di negara itu berbanding sebelum ini, ucapan tahniah wajar diberikan kepada sektor pelancongan Taiwan dan CMA kerana usaha mantap mereka dalam melihat kepentingan Islam termasuklah aspek makanan halal dan tempat beribadat diperkukuhkan.
Selamat melancong ke Taiwan!
0 Komen:
Catat Ulasan