Sejak pulih daripada trauma kemalangan jalan raya pada 25 Ogos lalu, ramai peminat mula mempersoalkan prestasi penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi Che Mat yang seolah-olah mengalami penurunan prestasi.Apa tidaknya, satu kesilapan mudah dilakukan ketika pertemuan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 28 Ogos lalu dan tiga kali tertewas pada pertemuan kedua dengan skuad kendalian B. Sathiantahan itu di Kota Bharu, membuatkan ramai pihak tertanya adakah prestasi Khairul Fahmi mula merosot?
Menjelang perlawanan persahabatan dengan Vietnam, esok, sudah ada segelintir peminat mengharapkan pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal membuat pertimbangan menurunkan Farizal Marlias sebagai pilihan utama mengawal gawang negara ekoran aksi goyah yang ditunjukkan oleh Khairul Fami.
Namun, penjaga gol berusia 23 tahun itu sama sekali tidak berasa tertekan dengan apa yang berlaku dan mahu para peminat jangan terlalu cepat membuat penilaian kerana situasi pasang surut dalam adalah satu perkara yang biasa dalam karier seorang pemain.
''Jika tiga gol yang dilepaskan ketika berdepan ATM menjadi sebab peminat mula meragui prestasi saya, saya rasa ia bukan satu ukuran yang adil.
''Harap peminat jangan terlalu cepat melatah, bukannya saya selalu melepaskan tiga gol dalam perlawanan-perlawanan lain sebelum ini dan melepaskan satu gol mudah semasa perlawanan dengan ATM di Stadium Selayang tempoh hari.
''Bukan saya tidak menghormati apa peminat katakan kepada saya tetapi sebagai pemain profesional, saya lebih suka mendengar apa komen jurulatih kepada saya kerana dia lebih arif mengenai bola sepak dan mengetahui sejauh mana kemampuan saya," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.
Tegas Khairul Fahmi atau yang lebih dikenali sebagai Apek, sebagai manusia biasa, mana-mana pemain pasti tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan sepanjang kariernya.
''Saya masih berada di tahap yang terbaik untuk mewakili negara dan tetap bersemangat jika diturunkan pada perlawanan dengan Vietnam, saya tidak mempunyai apa-apa masalah dan harap peminat jangan khuatir," ujarnya.
Selain Farizal yang turut bersaing dengan Apek bagi merebut tempat dalam kesebelasan Harimau Malaya untuk menentang Vietnam, kehadiran bekas penjaga gol Harimau Muda, Mohd. Zamir Selamat turut membuatkan perebutan posisi itu bertambah sengit.
Menurut Apek, dia gembira dengan prestasi cemerlang yang dipamerkan Farizal bersama Negeri Sembilan semenjak kebelakangan ini terutama di persaingan Piala Malaysia.
''Situasi ini memang bagus untuk pasukan dan memberikan persaingan yang sihat, saya langsung tidak bimbang jika tempat saya mungkin akan tergugat, itu semua terpulang kepada pilihan jurulatih," katanya.
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
BalasPadam