Home » » Samsung SDI perluas operasi

Samsung SDI perluas operasi

Samsung SDI, iaitu unit perniagaan bateri Kumpulan Samsung dari Korea Selatan akan mengembangkan operasinya di Malaysia sebagai hab pengeluaran bagi pasaran Asia, seterusnya diperluaskan untuk meliputi pasaran global pada masa depan. Langkah berkenaan adalah sebahagian daripada strategi kumpulan itu untuk menjadikan Malaysia sebagai tapak operasi terbesarnya di luar Korea Selatan menjelang 2015, yang membabitkan pembangunan kemudahan pengeluaran termaju meliputi proses pengilangan menyeluruh dari sel bateri sehingga pek kuasa.

Malaysia dipilih berdasarkan sistem dan persekitaran industri menarik disokong kestabilan politik, tenaga kerja berkualiti dan fokus ekonominya dalam aktiviti tambah nilai. Sistem pentadbiran di Malaysia telah terbukti membantu kami menguruskan operasi dengan lancar sehingga membantu kami mencapai kedudukan sebagai pengeluar CRT utama global," Jurucakap Samsung SDI
Kilang Samsung SDI Energy di Senawang, Negeri Sembilan yang terbabit dalam rekaan, pembangunan dan pengilangan bateri lithium ion dan pek kuasa.

Malah, Samsung SDI yang kini pengeluar utama bateri bagi peranti mudah alih dunia turut merancang membangunkan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi industri tenaga mesra alamnya di negara ini.

Jurucakap Samsung SDI berkata, kemudahan pengeluaran termaju di Malaysia itu akan dibangunkan terlebih dulu bagi memastikan pembekalan produk berkualiti dapat berjalan dengan lancar.

Fokus bateri saiz kecil

Beliau berkata, untuk permulaan syarikat itu akan menumpukan pembangunan perniagaan bateri bersaiz kecil bagi peranti mudah alih sebelum meluaskannya kepada pengeluaran bateri bersaiz sederhana dan besar.
"Kami adalah pengeluar bateri litium ion terbesar dunia, justeru untuk terus mengekalkan kedudukan ini kami akan meningkatkan pelaburan bagi perniagaan bateri bersaiz kecil yang kini penyumbang utama pendapatan syarikat.

"Menerusi pembangunan teknologi lithium ion generasi akan datang, kami bakal memacu perniagaan baru iaitu pengeluaran bateri bersaiz sederhana untuk kenderaan elektrik dan bateri bersaiz besar untuk sistem storan kuasa yang akan dilaksanakan selepas 2015," katanya kepada BH menerusi e-mel di Kuala Lumpur, semalam.

Samsung SDI memulakan operasinya di Malaysia pada 1990 iaitu bagi pengeluaran tiub sinar katod (CRT), sekali gus menjadikan negara ini sebagai operasi pengeluaran luar negaranya yang pertama.

Kini syarikat itu turut mengeluarkan sekitar lapan juta bateri sebulan untuk pelbagai peranti mudah alih termasuk telefon pintar, tablet dan perkakasan tangan bagi jenama terkenal.

Mengulas lanjut, jurucakap Samsung SDI itu berkata, tahun lalu syarikat berkenaan melabur sekitar AS50 juta (RM150 juta) dalam perniagaan baterinya dan merancang meningkatkannya sejajar pelan pengembangan operasi itu.

Sedia peluang pekerjaan

Katanya, pelan pengembangan Kumpulan Samsung di Malaysia itu dijangka memberi pelbagai manfaat besar kepada negara ini khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan, sokongan kepada syarikat tempatan serta meningkatkan imej dan jenama Samsung.

"Malaysia dipilih berdasarkan sistem dan persekitaran industri menarik disokong kestabilan politik, tenaga kerja berkualiti dan fokus ekonominya dalam aktiviti tambah nilai.

"Sistem pentadbiran di Malaysia telah terbukti membantu kami menguruskan operasi dengan lancar sehingga membantu kami mencapai kedudukan sebagai pengeluar CRT utama global," katanya.

Beliau menegaskan, walaupun masih terlalu awal untuk menyatakan sasaran yang ditetapkan hasil daripada pelan pengembangan itu, tapi kumpulan terbabit yakin ia mampu menjana pertumbuhan lebih sekali ganda menjelang 2015.


Terima kasih kerana membaca Samsung SDI perluas operasi. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan