Home » » Najib lancar Pasar Bergerak 1Malaysia

Najib lancar Pasar Bergerak 1Malaysia

PUTRAJAYA 27 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan projek Pasar Bergerak 1Malaysia, satu lagi inisiatif kerajaan membantu rakyat khususnya kalangan masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana.
 
Ia melibatkan sebuah bas yang diubah suai khusus bagi mengedar barang keperluan harian terus kepada pengguna dengan matlamat membantu rakyat mengurangkan kesan kenaikan harga barang.
Bas itu akan diiringi beberapa lori kecil yang juga diubah suai, bergerak ke lokasi yang dijadualkan khususnya di kawasan-kawasan perumahan kos rendah dan pusat komuniti terpilih.
Menurut kenyataan media Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Perdana Menteri memperakukan peruntukan RM3 juta bagi menggerakkan projek Pasar Bergerak 1Malaysia itu dan buat permulaan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merancang untuk membangunkan konsep pasar bergerak itu di zon tengah, zon utara dan zon selatan.
 
Majlis pelancarannya hari ini menyaksikan Najib menyempurnakan acara pelepasan konvoi pasar bergerak dengan disaksikan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta menteri-menteri Kabinet di Dataran Perdana di sini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Pembangunan Usahawan FAMA, Ab. Razak Ab. Majid ketika ditemui selepas acara pelepasan itu berkata, konvoi itu bergerak ke Kuala Pahang, Pekan untuk turut serta dalam pelancaran Pusat Transformasi Bandar oleh Perdana Menteri, Jumaat ini.
Beliau berkata, bas itu kemudiannya akan mula beroperasi di kawasan sasaran terutama di semua pasar tani di Lembah Klang serta Selangor dan Perdana Menteri meminta supaya dua lagi inisiatif pasar bergerak itu mula beroperasi selewat-lewatnya April.
 
Katanya, satu pasar bergerak itu dirancang untuk beroperasi di zon utara dengan Pulau Pinang menjadi stesennya, manakala satu lagi di zon selatan dengan Johor Bahru sebagai stesennya.
Ab. Razak berkata, dalam sehari bas berkenaan mampu memberi perkhidmatan di tiga lokasi, membawa muatan barang keperluan yang bernilai kira-kira RM20,000.
Menurutnya, FAMA akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam menghasilkan satu jadual tetap pergerakan bas ke lokasi yang ditentukan.



Terima kasih kerana membaca Najib lancar Pasar Bergerak 1Malaysia. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan