Home » » Seorang sahaja Ahli Parlimen pembangkang hadir

Seorang sahaja Ahli Parlimen pembangkang hadir

KUALA LUMPUR 11 Jun - Semua Ahli Parlimen pembangkang yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak hadir dalam majlis Taklimat Ahli-ahli Dewan Rakyat Majlis Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen hari ini kecuali Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa.

Kegagalan hampir kesemua Ahli Parlimen pembangkang dalam majlis itu sekali gus mengesahkan hasrat mereka memboikot majlis angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat pada 24 Jun ini.
Sehingga majlis itu tamat kira-kira pukul 12 tengah hari, Teck Hwa merupakan satu-satunya Ahli Parlimen pembangkang yang mendengar taklimat disampaikan Ketua Pentadbir Parlimen, Datuk Lamien Sawiyo dan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah.

Keberanian Teck Hwa yang membelakangkan pendirian pembangkang menghadiri majlis taklimat itu mendapat pujian Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ketika berucap dalam majlis berkenaan.
Teck Hwa dalam majlis itu juga mencuri tumpuan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mengucapkan tahniah atas keputusannya malah ada yang mengambil kesempatan bergambar dengannya.
Secara keseluruhannya, sebanyak 111 Ahli Parlimen termasuk Teck Hwa hadir dalam majlis taklimat itu.
Beberapa Ahli Parlimen baharu daripada Barisan Nasional (BN) yang hadir termasuk Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim; Datuk Irmohizam Ibrahim (Kuala Selangor); Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).
Dalam majlis itu, Lamien memberi penerangan mengenai segala urusan pentadbiran serta kemudahan yang dinikmati Ahli-ahli Parlimen manakala Roosme memberi taklimat mengenai perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mengulas ketidakhadiran Ahli Parlimen pembangkang tersebut berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana mereka memegang amanah dan mewakili rakyat.




Terima kasih kerana membaca Seorang sahaja Ahli Parlimen pembangkang hadir. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan