Kuala Terengganu: "Saya tidak menyangka dia mendera anak saya hingga sanggup menekap kakinya ke ekzos motosikal yang panas. Sebelum ini, dia begitu baik melayan kami," kata ibu kanak-kanak perempuan yang didera teman lelakinya.

Wanita itu mahu dikenali sebagai 'Nur' berkata, Isnin lalu teman lelakinya yang dikenali sebagai 'Chek' membawa anaknya bersiar-siar di taman sebelum mendapati tapak kaki kanan kanak-kanak itu cedera teruk dengan kesan melecur.
Dia kemudian bertanyakan perkara itu kepada anaknya dan diberitahu kecederaan itu disebabkan ditekap ke ekzos motosikal.


"Saya cuba bertanyakan hal ini kepada teman lelaki, tetapi dibalas dengan sepak terajang dan maki hamun," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam.

Tak buat laporan polis

Walaupun dia dan anaknya sering dipukul, Nur tidak membuat laporan polis kerana bimbang dengan sikap lelaki itu yang panas baran dan pernah mengugutnya.

"Pada awal perkenalan, dia melayan kami dua beranak dengan baik, tetapi lama kelamaan dia menjadi pemarah dan panas baran sehingga anak kecil menjadi mangsa tempat dia melepaskan geram," katanya.