Home » » Sampel tulang Arafat diambil

Sampel tulang Arafat diambil

RAMALLAH - Jenazah bekas pemimpin terkenal Palestin, Yasser Arafat dikebumikan semula semalam di kuburnya di sini selepas sampel daripada tulangnya diambil untuk diuji sama ada terdapat tanda-tanda beliau diracun.
"Pada pukul 5 pagi waktu tempatan, liang lahad itu mula digali dengan cermat," kata sumber Palestin.
"Operasi tersebut telah tamat dan kuburnya telah dikambus semula manakala sampel yang diambil telah diberikan kepada pakar dari Perancis, Switzerland dan Rusia," kata sumber berkenaan.
Proses pengambilan sampel tulang Arafat itu dilakukan oleh seorang doktor Palestin yang diperhatikan oleh pakar dari tiga negara tersebut.
"Sampel tulang Arafat diambil dari dalam liang lahadnya dan kemudian dipindahkan ke sebuah masjid," kata sumber berkenaan.
Keputusan daripada sampel yang diambil itu akan diketahui dalam masa sekurang-kurangnya tiga bulan.
Proses pengambilan itu dibuat secara tertutup.
 
Sampel yang diambil itu bertujuan untuk menguji kewujudan bahan radioaktif, polonium yang merupakan sebahagian daripada siasatan baharu sama ada bekas presiden Palestin itu diracun.
Siasatan tersebut dibuat ekoran laporan stesen televisyen Al-Jazeera mengenai penemuan sekumpulan pakar dari Switzerland yang menunjukkan terdapat polonium pada barang peribadi milik Arafat.
 
Perancis membuka siasatan terhadap kematian Arafat yang dikemukakan pada Ogos lalu atas permintaan balu beliau, Suha.
Arafat meninggal dunia selepas kesihatannya merosot dengan mendadak di sebuah hospital tentera dekat Paris pada November 2004 ketika beliau berusia 75 tahun.
Pada sidang akhbar, Dr. Abdullah al-Bashir yang mengetuai pasukan perubatan bagi menyiasat kematian Arafat memberitahu, sampel tersebut amat kecil.
"Ia hanya seberat beberapa miligram dan 20 sampel diberikan kepada setiap pihak (yang terlibat dalam siasatan itu)," katanya.
Sementara itu, Suha berkata, misteri paling penting di Asia Barat semakin hampir menemui penyelesaian.
"Kita perlu tahu kenapa beliau meninggal dunia," katanya kepada akhbar Times of Malta di rumahnya di Malta.
Beliau juga menafikan pernah menentang bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Arafat.
Dalam perkembangan berkaitan, kepimpinan Palestin akan mengemukakan petisyen di Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda jika terdapat bukti bahawa Arafat telah diracun.
"Jika terbukti beliau diracun, kami akan mengemukakan dakwaan di mahkamah antarabangsa," kata Ketua Suruhanjaya Siasatan Kematian Arafat, Tawfiq Tirawi. - Agensi


Terima kasih kerana membaca Sampel tulang Arafat diambil. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan