Home » » Umie kuat merajuk, menangis

Umie kuat merajuk, menangis

Hari ini, Datin Paduka Umie Aida sudah memegang gelaran aktres Malaysia yang disegani. Bukan saja sebagai pelakon, isteri kepada ahli perniagaan terkenal, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan ini turut menonjol sebagai produser filem dan teater yang berjaya.
Ternyata, status sebagai isteri dan kesibukan dalam karier seni dan bisnes bukan penghalang buat Umie membesarkan dua anak angkatnya - Mohd Daniel Firdaus, 18, dan Mohd Dzulhelmy, 17, dengan sebaik mungkin.
Apa yang jelas, bukan juga laluan yang mudah bagi Umie, 40, menempa nama seperti hari ini kerana pelbagai ujian terpaksa dilaluinya sepanjang lebih 15 tahun berjuang dalam bidang seni.

Bermula sebagai model komersial, bekas peserta Dewi Remaja ini mula berlakon pada usia 18 tahun menerusi filem pertamanya, Memori pada 1991. Sejak itu dia terus melangkah laju. Keberkesanan lakonannya membawa Umie merangkul beberapa anugerah, antaranya tiga kali trofi Aktres Terbaik (Drama) pada Anugerah Skrin 1999, 2001 dan 2011, Pelakon Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1999 sebelum diiktiraf sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-16 menerusi Embun pada 2003.

Jejak Bintang mendekati beberapa insan paling rapat dengan Umie untuk bercerita mengenai dirinya sejak kecil. Orang itu tidak lain daripada ibu dan rakannya. Ikuti siri Jejak Bintang kali ini yang dicatatkan wartawan Ramlah Zainal (roses@hmetro.com.my).

"Terus terang, saya memang takut untuk marah atau memukul Umie ketika kecil dulu kerana kalau dia sudah mula menangis, dialah yang paling susah sekali nak berhenti. Saya masih ingat lagi, pernah marahkan Umie ketika umurnya tujuh tahun. Bayangkan... dia menangis dari pagi sampai ke malam! Itu sangat membimbangkan kami sekeluarga.

"Umie juga kuat merajuk. Ketika umurnya lapan tahun, dia pernah merajuk dengan arwah ayahnya sehingga dia pernah meletakkan duit belanja sekolah yang diberikan suami saya itu di depan beg sekolahnya sebagai tanda protes atau mogok! Aduh, Memang lucu apabila mengenangkan perangainya dulu," kata Asmah Mohd Ali, 65.

Bercerita lanjut mengenai diri Umie ketika zaman kanak-kanaknya dulu, kata Asmah, anak ketiganya itu adalah seorang anak yang sangat pembersih dan kemas sejak di bangku sekolah rendah lagi.

"Bukan saja ke sekolah, dia juga suka menggosok pakaian seragam sekolah dan mencuci kasut sekolahnya sendiri tanpa bergantung kepada saya mahupun kakak­nya, Erma (Fatima). Kalau boleh semua benda terutama berkaitan sekolah dia suka uruskan sendiri," katanya.

Kata Asmah, walaupun wajah Umie nampak cukup lembut, hakikatnya, dia sebenarnya seorang gadis yang lasak ketika zaman remaja­nya dulu.

"Ketika dia di tingkatan satu, dia ada lebih ramai kawan lelaki di sekolah berbanding perempuan. Mungkin sebab itu perwatakannya jadi kasar dan lasak seperti lelaki.

"Selain itu, hobinya suka menunggang basikal dan dia pernah cedera teruk apabila basikal yang ditunggangnya itu terjatuh ke dalam longkang. Namun Umie tak serik pun dengan kejadian yang berlaku kerana dia terus ligat menunggang basikal di sekitar kawasan perumahan kami selepas kemalangan itu," katanya.

Mengimbas latar belakangnya, Umie atau nama sebenarnya, Umi Khalsum dilahirkan pada 18 Januari 1973 di Kampung Batu 4, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Ayahnya, Allahyarham Rahmad Ali Husin Ali yang berdarah kacukan Melayu-Pakistan adalah bekas kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Beliau sudahpun kembali rahmatullah kira-kira empat tahun lalu.

Anak ketiga daripada enam beradik, Umie mempunyai kakak, Fatimah (Erma Fatima) 45, Ahmad Redzuan, 42, Ahmad Saladin, 36, Ahmad Tajudin 34, dan Norsham (Betty), 27. Ketika dilahirkan, nama Umi Khalsum diberikan oleh moyangnya yang juga bekas guru agama di Kampung Kentomen (Kampung Batu), Kuala Lumpur.


Tonton semua lakonan Umie

Siapa sangka Umie akan bergelar aktres terkenal seperti hari ini. Menurut Asmah lagi, ketika kecil Umie tidak pernah menunjukkan minat ke arah bidang lakonan.

"Saya tidak tahu pun Umie ada bakat dalam bidang lakonan pada zaman kanak-kanaknya. Maklumlah, dalam keluarga kami tidak ada seorang pun pernah terbabit dalam bidang seni.

"Saya pula memang suka menyanyi, tetapi tidaklah serius sekadar untuk suka-suka saja. Namun saya tidak terkejut Umie ada bakat menyanyi kerana dia memang suka menyanyi dan pandai mengaji al-Quran. Maklumlah, arwah nenek­nya dulu cukup tegas dalam soal pendidikan agama dan pastikan Umie dan adik beradiknya yang lain khatam al-Quran awal-awal lagi," katanya.

Bagaimanapun, kata Asmah, selepas Erma mula serius dalam bidang lakonan, Umie juga mula menunjukkan minat ke arah yang sama.

"Maklumlah, hubu­ngan mereka memang cukup rapat dan banyak perkara yang mereka kongsi bersama. Secara tidak langsung, Erma jugalah yang bertanggungjawab membawa Umie berjinak-jinak ke dalam bidang lakonan dan nama komersial 'Umie Aida' dicipta Mak Nani (Datin Rosnani Jamil) apabila Umie mula-mula sekali berlakon," jelasnya.

Sebagai ibu, Asmah akui, dia sentiasa menyokong minat Umie dalam bidang seni seandainya bidang itu membahagiakan anaknya.

"Seperti Erma, Umie juga meminta kebenaran daripada saya untuk menceburi bidang lakonan. Namun dari segi sikap, kalau Erma seorang yang tegas, Umie pula lebih lembut. Saya dan arwah suami tidak menghalang minat mereka dalam bidang seni kerana yang penting mereka mesti pandai menjaga diri dan nama baik keluarga.

"Setakat ini, Erma dan Umie memang anak yang baik dan tidak mensia-siakan kepercayaan yang kami berikan selama ini.

"Dari segi lakonan, saya menonton hampir semua drama dan filem lakonan Umie di kaca TV dan hampir semuanya saya suka de­ngan lakonan­nya itu. Terus terang, saya cukup berbangga dengan pencapaian Umie dalam bidang seni selama ini," katanya.


Tidak pernah lupakan emak

Ditanya pula bagaimana dia berdepan dengan pelbagai gosip dan kontroversi yang dikaitkan dengan Umie sepanjang berkecimpung dalam bidang seni, Asmah berkata, dia meng­anggap semua gosip itu sebahagian daripada asam garam orang yang bergiat dalam dunia seni.

"Saya tidak pernah percaya gosip yang disebarkan media mahupun Internet kerana saya lebih percayakan siapa anak saya daripada orang lain. Sebab itu, apa saja gosip dikaitkan dengan Umie sebelum ini, saya tidak rasa tertekan kerana Umie akan pasti memberitahu saya cerita yang sebenar-benarnya.

"Begitu juga soal jodoh, saya sentiasa merestui siapapun pilihannya untuk dijadikan teman hidup. Apa yang penting, saya ingin melihat hidupnya bahagia bersama suami dan anak-anaknya hingga ke akhir hayat, insya-Allah.

"Justeru, saya tumpang bahagia apabila melihat kebahagiaan rumah tang­ga Umie bersama Khairuddin dan anak-anak mereka selama ini," katanya.

Walaupun sudah bergelar artis terkenal, kata Asmah, sikap Umie masih tidak berubah dan sama seperti dulu.

"Umie selalu menghubungi saya menerusi telefon dan bertanya khabar setiap hari untuk mengetahui tahap kesihatan saya di rumah. Maklumlah, saya terbabit dalam bidang jualan langsung dan jarang melekat di rumah. Saya tahu Umie risau kalau saya tak cukup rehat.

"Bukan saja wang ring­git, dia juga pandai mengambil hati saya dan selalu memanjakan saya dengan hadiah. Dia tahu saya suka beg tangan dan setiap kali dia dan suaminya ke luar negara, adalah nanti buah tangan yang dibawa pulang," katanya.


Terima kasih kerana membaca Umie kuat merajuk, menangis. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan