Home » » Dodgeball - Elak dihentam ‘bola beracun’

Dodgeball - Elak dihentam ‘bola beracun’

TERPEGUN melihat kelincahan dua kumpulan bagaikan berada di medan peperangan dalam ruang seluas gelanggang bola tampar dilengkapi penghalang berjaring yang memisahkan mereka dan penonton.
Tambah menarik, jumlah pemain kedua-dua pasukan yang bertahan kian surut sebaik disingkirkan oleh lontaran bola pihak lawan. Hinggalah ke satu tahap, perlawanan penentuan membabitkan satu lawan satu, membuatkan suasana pertandingan kian gamat.
Jika pasukan lelaki mempamerkan permainan menarik, persaingan antara pasukan wanita tidak kurang hebatnya dalam mencari mata kemenangan.

Peserta juga bagaikan saling mengenali kerana tiada langsung kelihatan riak gementar, malah ada yang beraksi 'nakal' mengusik pemain lawan.

Bagi Nurazleen Naquiah Abdul Razak, Kejohanan Liga Kampus Dodgeball dianjurkan oleh Persatuan Dodgeball Malaysia yang berlangsung di The Summit USJ, Subang Jaya baru-baru ini, adalah penyertaannya yang ketiga.

Gadis manis berusia 24 tahun itu menggemari sukan terbabit kerana konsep permainan menyerupai 'bola beracun' yang mengimbau kenangan ketika sekolah rendah.

"Kalau dilihat daripada ciri ia dimainkan, konsep permainan ini tidak ubah seperti bola beracun yang sering kita main ketika sekolah rendah.

"Bezanya, sukan ini dimainkan semula dalam versi lebih baik membabitkan enam pemain dalam satu pasukan dengan enam biji bola dalam gelanggang," katanya.

Nurazleen berkata, paling menarik mengenai sukan yang pernah menjadi ilham bagi filem DodgeBall: A True Underdog Story di Amerika Syarikat ini ialah rasa puas sebaik berjaya menewaskan lawan.

"Tentu saja kepuasan dirasai ketika berjaya mengeluarkan pemain lawan kerana itulah format permainan ini," kata penuntut jurusan Media Komunikasi di Universiti Taylor Lakeside, Sunway ini.

Berbeza pula bagi Priscilla Yee, 21, kerana ini pengalaman pertamanya bermain dodgeball dan dia gementar berdepan pihak lawan.

"Berdebar dan perasaan teruja silih berganti apabila melihat perlawanan.
Disebabkan ia pengalaman pertama, saya juga tidak sabar-sabar mahu memasuki gelanggang.

"Malah, saya boleh menilai prestasi diri selepas menjalani latihan intensif setiap petang selama dua minggu bersama rakan sepasukan," katanya yang mewakili pasukan Sunway Pharaohs.

Bagi pemain pasukan Inti Reapers, Muhammad Bilal Raja Ghalib, 19, yang ada pengalaman bermain di luar negara, kejohanan dodgeball ini membuka ruang lebih besar untuk mencipta kemenangan.

"Saya sering bermain dalam kejohanan dodgeball di negara saya iaitu Dubai, Emiriah Arab Bersatu, selain beberapa negara luar apabila mendapat jemputan rakan di sana.

"Oleh itu apabila menyambung pengajian di sini, tentu saya ingin menyertainya.
Komuniti dodgeball di sini masih kecil, oleh itu peluang untuk menang lebih cerah," katanya yang mula bermain di Malaysia setahun lalu.

Menurutnya, cabaran sukan terbabit ialah sejauh mana kemampuan pemain bertahan sambil mengatur serangan sehingga akhir pertandingan.

"Konsisten dan tumpuan adalah dua perkara penting bagi pemain dodgeball. Pemain perlu pantas membuat serangan menerusi balingan bola dan pada masa sama mengelak terkena serangan lawan," katanya.

Pemain pasukan UCSI Devil Dukes, Garon Tan pula berkata, peringkat paling kritikal adalah 'sudden death' iaitu pusingan penentu apabila kedua-dua pasukan terikat pada mata sama.

Mengenai kelasakan sukan terbabit kerana pemain 'dihentam' bola yang dilontar laju oleh pihak lawan, Garon berkata, bola khas digunakan bagi mengurangkan risiko kecederaan.

"Bola digunakan direka khas supaya sesuai untuk permainan terbabit. Tidak perlu khuatir mengenai kecederaan, sebaliknya harus fokus bagaimana untuk mengelak bola pihak lawan," katanya yang berasal dari Cheras.

Sementara itu, Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia, Datuk Samson David Maman optimis mengenai usaha melebarkan perkembangan sukan dodgeball supaya selaras dengan negara seperti Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom.

"Kita berharap penganjuran di peringkat institusi pengajian tinggi dapat mempromosi perkembangan sukan berkenaan supaya pesat membangun sebagaimana dimainkan secara meluas di Amerika, Kanada dan Hong Kong.

"Saya berharap persatuan mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan serta agensi lain bagi merealisasikan dodgeball sebagai sukan popular di negara ini," katanya.



PROFIL 1:

NAMA: Nurazleen Naquiah Abdul Razak
UMUR: 24 tahun
ASAL: Puchong, Selangor
PASUKAN: Storm
INSTITUSI: Universiti Taylor


PROFIL 2:

NAMA: Garon Tan
UMUR: 20 tahun
ASAL: Cheras, Kuala Lumpur
PASUKAN: UCSI Devil Dukes
INSTITUSI: Universiti UCSI


PROFIL 3:

NAMA: Priscilla Lee
UMUR: 21 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
PASUKAN: Pharaohs
INSTITUSI: Universiti Sunway


Terima kasih kerana membaca Dodgeball - Elak dihentam ‘bola beracun’. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan