Home » » Safiq tinggalkan Gergasi Merah, akan ke Johor?

Safiq tinggalkan Gergasi Merah, akan ke Johor?

NASIB kapten Selangor, Safiq Rahim masih belum pasti apabila dia memberi bayangan mahu berhijrah meninggalkan juara 32 kali Piala Malaysia itu untuk mencari 'angin baru' pada musim depan.
Keinginan perancang Gergasi Merah itu terserlah apabila dia mengucapkan selamat berjaya kepada pemain-pemain Selangor bagi meneruskan Misi 33 pada musim depan selepas gagal melaksanakannya tahun ini.

"Saya berharap perlawanan malam ini tidak akan menjadi titik tolak kekecewaan (Selangor) selama-lamanya.
"Untuk pemain-pemain Selangor pada tahun depan, saya berharap mereka dapat menyempurnakan 'Misi 33' untuk pasukan Selangor," kata Safiq selepas tamat perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia kelmarin.

Pada aksi di Stadium Shah Alam itu, Selangor gagal untuk mara ke pentas final selepas tewas 0-2 kepada juara Liga Super Kelantan di laman sendiri dan tersingkir dengan agregat 3-0.

Kelantan bakal berdepan juara Liga Perdana ATM pada final di Shah Alam pada 20 Oktober ini.
Mengulas lebih lanjut, ditanya mengenai hala tuju selepas berakhir Piala Malaysia bersama Selangor, Safiq menegaskan dia mahu memberikan tumpuan kepada Piala Suzuki AFF November ini sebelum membuat keputusan.

Namun kapten Harimau Malaya itu tidak menolak kemungkinan melebarkan karier ke luar negara selepas mendapat surat menjalani ujian dengan tiga kelab dari Croatia, Bosnia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sebelum ini Safiq juga dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Indonesia Premier League, Arema Indonesia yang dulu dikenali sebagai Arema Malang.

"Saya harap perkara itu jadi kenyataan kerana ia impian saya untuk beraksi di luar negara.

"Sebenarnya saya tak mahu perkara ini diuar-uarkan sebab belum lagi ada kata putus memandangkan saya mahu memberikan keutamaan kepada skuad negara menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki.

"Selepas Piala AFF Suzuki, kita akan tahu pasukan mana nanti. Sebenarnya saya tidak tahu lagi di mana kedudukan saya pada musim depan. Jadi, ia bergantung kepada pihak pengurusan Selangor untuk menentukannya," jelas Safiq.


Terima kasih kerana membaca Safiq tinggalkan Gergasi Merah, akan ke Johor?. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan