Home » » Kelantan mahu elak seri

Kelantan mahu elak seri

KELANTAN sudah tidak rela lagi untuk meraih keputusan seri kerana ia akan menjejaskan kedudukan mereka dalam carta Liga Super.Hari ini, The Red Warriors itu akan turun menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dengan misi untuk meraih kemenangan.Ketua jurulatihnya, Bojan Hodak sedar bahawa perlawanan malam ini cukup penting buat para pemainnya membuktikan keupayaan selain mengelak daripada terus tercicir mata dengan pasukan yang berada di tangga teratas liga.
Menurutnya, dua keputusan seri dan satu kekalahan dalam empat perlawanan lalu bukan suatu yang positif untuk pasukannya mempertahankan gelaran trebel ketika saingan Liga Super dilihat semakin mencabar dengan peningkatan beberapa pasukan baharu.
 
"Kita perlu tampil berhabis-habisan malam esok (malam ini) untuk mendapatkan tiga mata. Saya fikir, peluang beraksi di laman sendiri merupakan satu kelebihan kepada kami dan saya harap kami mampu menghasilkan keputusan yang positif nanti.
"Saya tidak fikir pasukan ini mempunyai masalah yang besar, cuma kami gagal memanfaatkan peluang yang terhidang menyebabkan barisan hadapan kami kelihatan seperti agak tumpul.
"Saya berharap perlawanan malam esok (malam ini) adalah penutup kepada aksi hambar yang kami pamerkan sebelum ini," katanya semalam.
 
Tambahnya, walaupun situasi terkini menyaksikan Negeri Sembilan berada di tangga tercorot liga, namun beliau tidak mahu para pemainnya mengambil mudah perlawanan tersebut kerana lawan mereka itu sentiasa menjadi pesaing paling hebat setiap kali mereka bertemu.
Katanya, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku, namun beliau tidak nampak sebarang sebab kenapa pemainnya melepaskan mata berharga pada setiap perlawanan, sedangkan prestasi mereka kini berada pada tahap terbaik.
 
"Kita harus sempurnakan setiap peluang dengan baik. Bola sepak tidak memerlukan anda bermain dengan cantik atau sebagus mana pemain tengah dan pertahanan anda beraksi tetapi bola sepak adalah sebanyak mana anda mampu menjaringkan gol dan memenangi perlawanan.
"Pada perlawanan sebelum ini, barisan pertahanan bermain dengan baik dan di jentera tengah, Piya (Badri Radzi) dan Shakir (Shaari) juga cukup cemerlang, namun pada akhirnya kita tetap mempunyai masalah untuk menjaringkan gol," ujarnya.
 
Mengulas mengenai kecederaan yang dialami dua penggempurnya, Norfarhan Muhammad dan Keita Mandjou, Hodak berkata: "Norfarhan sudah mula menjalani latihan ringan tetapi saya tidak fikir dia sedia untuk diturunkan malam esok (malam ini).
" Jika ada pun, mungkin saya akan guna khidmatnya dalam 30 minit terakhir manakala Mandjou juga semakin pulih.
"Haris (Safwan Kamal) dan Indra Putra (Mahayuddin) sudah tentu berada dalam perancangan saya termasuk seorang lagi pemain muda, Khairul Izuan Rosli yang semakin menunjukkan peningkatan."



Terima kasih kerana membaca Kelantan mahu elak seri. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan