Home » » KWSP beli 12 cawangan Hospital Spire

KWSP beli 12 cawangan Hospital Spire

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus mengembangkan pelaburannya di luar negara dengan membeli portfolio hartanah hospital swasta kedua terbesar United Kingdom (UK), Spire Healthcare Group bernilai £700 juta (RM3.36 bilion).

Urus niaga berkonsepkan belian dan pajakan semula itu membabitkan 12 daripada 38 cawangan hospital berkenaan.
Ia dilaksanakan KWSP menerusi sebuah konsortium yang turut dianggotai pengurus dana Amerika Syarikat (AS), Och Ziff, GWM Group dan Moor Park Capital Partners.

Sumber industri berkata KWSP memiliki 79 peratus kepentingan dalam usaha sama itu, sementara Och Ziff dan GWM Group masing-masing mempunyai 10 peratus kepentingan dan kumpulan ekuiti swasta yang berpangkalan di UK, Moor Park memiliki kurang daripada satu peratus kepentingan.


Prospek jangka panjang

Beliau berkata, Moor Park juga adalah penasihat pelaburan kepada konsortium itu.
"Pembelian portfolio hartanah hospital swasta yang berpangkalan di UK ini adalah sebahagian daripada usaha KWSP untuk meningkatkan pelaburannya di luar negara," katanya kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

"Prospek jangka panjang Spire Healthcare dan sektor penjagaan kesihatan yang cerah juga mendorong KWSP untuk melabur dalam portfolio hartanah yang berkaitan penjagaan kesihatan di UK," jelasnya.

Sumber industri itu berkata, Spire Healthcare mengambil keputusan untuk menjual 12 cawangannya kepada konsortium yang diterajui KWSP itu adalah sebahagian daripada usahanya untuk melangsaikan hutang.

Difahamkan, dana yang diraih daripada urus niaga itu, membantu Spire Healthcare mengurangkan hutangnya daripada £1.4 bilion kepada £700 juta.

Bank of America Merrill Lynch bertindak sebagai penasihat kewangan utama kepada Spire Healthcare bagi urus niaga itu.

Beli bangunan ikonik

Spire Healthcare ditubuhkan hasil daripada penjualan BUPA Hospitals kepada syarikat ekuiti swasta, Cinven pada 2007.

Selain Spire Healthcare, KWSP juga sebelum ini membeli bangunan ikonik di London, iaitu Battersea Power Station menerusi satu konsortium yang turut disertai oleh dua syarikat hartanah terkemuka Malaysia, iaitu SP Setia Bhd dan Sime Darby Bhd.

Di samping itu, pengurus dana persaraan terbesar Malaysia itu juga melabur £1 bilion dengan pemilikan tujuh bangunan di London, termasuk bangunan yang terletak di kawasan premium, One Sheldon Square di Paddington Central dan 40 Portman Square berhampiran Oxford Street.


Terima kasih kerana membaca KWSP beli 12 cawangan Hospital Spire. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan