Home » » Tersentuh pengislaman Nadiawati

Tersentuh pengislaman Nadiawati

KELAB Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) menganjurkan Program Kembara Daie Siri Keempat (KD4) di dua perkampungan Orang Asli Trakit di Cameron Highlands dan Kampung Geliat yang terletak di Sungai Koyan, Pahang, baru-baru ini.Seramai 28 peserta terlibat dalam misi tersebut yang terdiri daripada wakil-wakil Kelab Perkim dari beberapa institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang termasuk wakil Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
 
Program ini turut melibatkan kerjasama MUIP, Perkim Kebangsaan dan Pahang, Pejabat Agama Islam Daerah Cameron Highlands dan Blackwind Advanture Team berlangsung selama tiga hari serta dua malam itu diadakan bertujuan menerapkan empat elemen iaitu; kepimpinan, pengurusan, kebajikan dan dakwah kepada Orang Asli.
Perjalanan konvoi untuk menuju ke destinasi bermula dengan rombongan berkumpulan di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada pukul 10 malam dan tiba di Kampung Trakit pada pukul 5.30 pagi.
 
Perjalanan diteruskan dengan para peserta dibawa ke perkampungan berkenaan dengan menaiki lapan buah kenderaan pacuan empat roda yang dikendalikan oleh Blackwind Adventure Team dan tiba pada pukul 10.30 pagi serta telah disambut oleh Tok Batin Kampung Trakit itu sendiri.
Antara aktiviti dilakukan sepanjang program berlangsung ialah melakukan aktiviti ziarah ke rumah masyarakat Orang Asli, sukaneka bersama warga penduduk, majlis makan dan tayangan video.
Menariknya, walaupun dalam kalangan penduduk Kampung Trakit masih lagi kuat mengamalkan kepercayaan lama yang diwarisi daripada nenek moyang mereka tetapi salah seorang anggota masyarakat yang dikenali sebagai Nadiawati yang berumur 17 tahun telah dengan rela hati memeluk Islam, sekali gus menjadi orang pertama menganut agama di perkampungan tersebut.
Perkembangan itu disambut baik oleh para peserta konvoi yang begitu tersentuh dengan keikhlasan gadis tersebut.
 
Majlis pengislaman telah dilakukan dan bersaksikan pegawai dari MUIP. Perkara seumpama itu menjadi pengalaman buat para peserta konvoi serta menjadikan motivasi dan semangat atas nama perjuangan dakwah.
Konvoi diteruskan dengan perjalanan ke Perkampungan Ibadah yang terletak di daerah Raub bagi menyampaikan sumbangan dan beramah mesra bersama penghuni rumah tersebut yang majoritinya terdiri daripada warga emas. Konvoi turut disambut baik oleh jawatankuasa Perkampungan Ibadah serta beberapa pegawai Perkim.
Ekspedisi dakwah berakhir dengan para peserta berangkat pulang ke ibu negara pada hari ketiga. Jika tiada aral melintang, program Kembara Daie siri kelima pula akan menyusul pada Februari akan datang ini.


Terima kasih kerana membaca Tersentuh pengislaman Nadiawati. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan