Home » » Banyak termenung petanda ajal

Banyak termenung petanda ajal

DUNGUN– "Sejak kebelakangan ini, dia banyak termenung, tak sangka itu merupakan petanda dia bakal meninggalkan kami," kata Khairul Shah, 31, anak sulung kepada Amddan Mat, 53, tukang cat yang meninggal dunia pagi semalam selepas tidak sedarkan diri.

Khairul Shah berkata, arwah bapanya yang mengusahakan bengkel mengetuk badan kereta dan mengecat di Kampung Paya sebelum ini dalam keadaan sihat dan dapat melakukan kerja harian seperti biasa.

Bagaimanapun, ketika hendak mandi kira-kira jam 10 pagi kelmarin, arwah dikatakan tiba-tiba rebah di bilik air sebelum meminta bantuannya.

Khairul Shah berkata, ketika hendak mengangkat bapanya, arwah dikatakan semakin tidak bermaya lalu dia menghantarnya ke Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan.

"Ketika menerima rawatan di Hospital Dungun, dia sudah mula berubah, mukanya pucat, namun dia masih boleh bercakap.

"Bagaimanapun, keadaannya semakin kritikal menyebabkan dia terpaksa dihantar ke Hospital Nur Zahirah Kuala Terengganu," katanya.

Menurut Khairul Shah, bapanya itu kemudian meninggal dunia kira-kira jam 8 pagi semalam ketika menerima rawatan di unit Rawatan Rapi HSNZ.

Katanya, arwah bapanya itu sebelum ini ada meluahkan hasrat untuk menggantikan alat menyembur baru berikutan peralatan yang digunakan untuk kerja mengecat itu sudah tidak berfungsi dengan baik.

Khairul Shah berkata, arwah berharap agar ada pihak yang dapat menyalurkan bantuan berkenaan, namun hasrat bapanya itu tidak kesampaian biarpun sudah beberapa tahun menunggu sehinggalah dia menemui ajal, pagi semalam.

"Nak beli yang baru memang kami tak mampu, sebab ayah usahakan bengkel kecil di kampung sahaja," katanya.

Jenazah Amddan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Pasir, selepas solat Asar, petang semalam.

Turut menziarahi jenazah allahyarham termasuk Adun RantauAbang, Datuk Zaa'bar Mohd Adib dan Adun Sura, Wan Hassan Mohd Ramli.


Terima kasih kerana membaca Banyak termenung petanda ajal. Jika berguna, tolong kongsikan di media sosial.

« Previous
« Prev Post
Next »
Next Post »

Tips Berkaitan:



0 Komen:

Catat Ulasan